MENJADI TUA SATU KEPASTIAN TETAP SIHAT ADALAH PILIHAN

 

Kita manusia yang diciptakan oleh Tuhan, tua merupakan satu kepastian. Semua yang hidup di dunia ini akan menghadapi hari tua tidak kira berapa lama kita boleh bertahan untuk hidup.

Apabila kita sudah berada di peringkat tua, terdapat pelbagai perubahan akan berlaku dalam diri. Antara perubahan yang pasti adalah aspek fizikal, psikologi dan sosial. Berdasarkan statistik, penduduk Malaysia rata-rata mampu untuk hidup sekitar 79 untuk lelaki dan 80 tahun untuk kaum perempuan. Ketua Perangkaan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahadin (Metro Julai 2022 - Jangkaan Hayat Penduduk Malaysia Meningkat), menjelaskan bahawa Malaysia akan berhadapan dengan penuaan penduduk pada tahun 2030 dengan peratus penduduk umur 60 tahun ke atas akan mencapai 15.3 peratus daripada jumlah penduduk. Tambahnya lagi taburan struktur umur untuk tempoh 1970-2020, peratus kanak-kanak bawah umur 15 tahun (umur muda) berlaku penurunan daripada 44.9 peratus pada tahun 1970 kepada 24 peratus pada tahun 2020. Trend penurunan umur muda dan peningkatan umur tua semakin ketara dari tahun ke tahun.

Purata jangka hayat rakyat Malaysia semasa kelahiran menurun daripada 74.4 tahun pada 2012 kepada 73.4 tahun pada 2022 berikutan peningkatan jumlah kematian semasa pendemik covid 19 (Star - 01 Oktober 2022 : Purata jangka hayat orang Malaysia makin menurun). Di kalangan negara Asean, kita rakyat Malaysia mempunyai penduduk jangka hayat lebih rendah berbanding negara Singapura, Thailand, Brunei dan Vietnam.

Perubahan Fizikal Bila Usia Meningkat

Untuk membincangkan perubahan fizikal iaitu berkaitan dengan tubuh badan manusia, selalunya akan ada perubahan yang jelas terhadap seluruh tubuh. Dari sini bermula akan pertanyaan dalam minda kita, apakah jenis perubahan itu. Namri Sidek (Blog Iluminasi) menjelaskan ada 7 perubahan fizikal ketara berlaku apabila kita mencapai usia tua. Antaranya, otak semakin kecil, semakin rendah, wajah mengecut, lidah kurang sensitif, badan menjadi lembik, mudah menerima penyakit dan yang akhir ini akan mengembirakan kita iaitu kita akan lebih bahagia. Maksud bahagia ini adalah kita semakin tahu menilai dan mengemudikan hidup untuk menjalani hari-hari tua kita.

Perubahan emosi atau psikologi

Warga tua merupakan satu kumpulan yang unik dan mempunyai banyak pengalaman berbanding dengan warga muda. Lantaran itu jika ada perubahan di sekeliling dan fizikal memberi impak yang tinggi dalam aspek emosi warga tua. Misalnya bagi orang yang belum menerima diri sebagai warga tua, jika berlaku perubahan fizikal dan persekitaran, emosi mulai terganggu. Mudah tersinggung bila dipanggil pakcik, makcik atau orang tua. Seolah-olah dia belum tahu bahawa dirinya sudah berada tahap tua. Emosi juga terganggu bila berlaku sistem saraf merosot seperti sakit sendi, tulang reput, mudah lupa dan yang paling trajis lagi bila menghadapi penyakit kronik.

Kognitif warga tua juga merosot disebabkan otak yang semakin mengecil. Sifat kanak-kanak akan mulai timbul dan mudah beremosi. Tidak mampu mengadaptasi perkara baru dan tidak boleh berinteraksi dengan baik dengan keadaan persekitaran.

Akhirnya berlaku kemurungan, kesedihan, lupa, Demensia, resah, keliru dan masalah komunikasi. Ini akan menyebabkan penerimaan diri terhadap usia tua menjadi satu isu atau masalah untuk dirinya.

Kaedah pencegahan dengan mempergiatkan kawalan tekanan diri (stress management), kaedah kawalan kemarahan (anger management), penerimaan dan penyesuaian diri terhadap penyakit kronik oleh setiap individu dengan sokongan ahli keluarga serta dorktor yang merawat.

Perubahan Sosial

Konsep diri dan sosial adalah saling berkaitan oleh setiap individu. Maka dalam usia tua, kemorosotan aktiviti sosial akan berlaku. Mereka tidak kuat lagi untuk mengikuti sembang-sembang dengan kawan, kurang berkomunikasi, memendamkan perasaan dan selalu menyendiri. Pemikiran tidak mampu mulai menguasai kerana menganggap sudah tidak mampu apa lagi dalam masa yang sama menghidapi pelbagai penyakit. Dengan adanya perubahan sosial pada usia lanjut ini mengakibatkan tahap kesihatan juga mulai turun. Oleh itu sebaiknya pada peringkat ini usaha untuk memulihkan semangat adalah sangat penting supaya proses penuaan itu dapat dilambatkan.

Pencegahan boleh dibuat dengan beberapa langkah seperti penjagaan esteem kendiri ( self-esteem) dengan menjaga kebersihan dan penampilan diri, meneruskan kemahiran yang ada (skill retention), menggalakkan aktiviti berdikari, meneruskan minat, mengelakkan kebosanan dan libatkan diri dengan aktiviti sosial (Portal MyHEALTH - Perancangan Untuk Hari Tua)

Rancang Awal Persediaan Hari Tua

Setiap 1 Oktober merupakan Hari Warga Emas Antarabangsa  yang diisytiharkan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menperingati warga tua. Namun dalam kalangan masyarakat kita, belum pasti semua orang tahu akan wujudnya tarikh ini. Sedangkan warga emas tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita. Mengapa perlu ada tarikh ini?, jawapanya adalah untuk meraikan dan memperingati golongan warga emas selain mengiktirafkan sumbangan dan peranan mereka sebelum ini. Jadi apakah persediaan kita untuk hari tua kelak?  Bagi saya selain daripada mengekalkan ekonomi dan hubungan sosial, tahap kesihatan kita adalah pilihan utama.

Sihat Adalah Pilihan

Mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Bagaimanapun adakah kita memahami hal-hal konsep pencegahan yang sebenar. Kita perlu mempunyai pemahaman terhadap proses penuaan bukan sahaja mengetahui bahawa semakin tua hanya menanti hari tiba di panggil Tuhan tetapi juga menyediakan diri ke arah hidup sihat dan produktif walapun diri tua.

Kajian menunjukkan bahawa 9 daripada 10 warga emas tidak mengambil nutrien harian yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan. Menurut Nurul Fadhlin Che Ismail (sihatmalaysia.my) bahawa ramai orang tidak menyedari  apabila usia mencecah umur 40 tahun, 8 peratus jisim otot akan menyusut bagi setiap 10 tahun. Tambahan beliau lagi, selepas umur 70 tahun kadar penyusutan meningkat hingga 15 peratus.

Perunding Geritrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) iaitu Prof Dr Sharul Bahya Kamaruzzaman menyarankan supaya pada usia tua, pengekalan pengambilan nutrisi seimbang perlu dibuat untuk tetap kekal sihat. Pemakanan yang berkualiti dan bernutrisi adalah penting untuk memelihara kekuatan otot di ketika masa kita tua. Penekanan ini perlu diketahui secara khusus sebab kita sering mengabaikan keperluan pemakanan sihat yang menyebabkan kita mengalami kekurangan nutrisi, kemorosotan fizikal, masalah sosial dan penyakit

Mempunyai gaya hidup sihat adalah keperluan utama bukan sahaja untuk warga muda tetapi juga untuk warga tua. Dalam hal ini, senaman berkala mepunyai impak yang tinggi kepada kesihatan diri. Khusus bagi warga emas, senaman dapat membantu mencegah atau mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, kadar gula dan fungsi sendi serta tidak lupa aspek kestabilan emosi. Memadai 3 kali senaman seminggu dengan setiap sesi 30 minit banyak membantu untuk kekal sihat.

Pemeriksaan berkala di hospital atau klinik juga perlu diamalkan oleh kita untuk menjalani proses hidup tua. Ini amat penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan dari awal supaya dapat mengelakkan keadaan menjadi kronik.

Kesimpulannya, berada di usia tua bukanlah satu kekurangan atau permasalahan tetapi anggaplah itu sebagai kepastian setiap manusia. Tetapi bagaimana kita belajar untuk menghargai diri dan perkara-perkara yang dibuat sebelum ini boleh membantu kita untuk menerima secara positif dan kehidupan yang bermakna sebelum kita meninggal dunia ini. Fikirkan tentang hari tua kita dengan konsep bermakna untuk bekalan kita ke alam yang satu lagi nanti. Sementara mata masih terbuka, buatlah amalan-amalan bermakna, berkualiti dan yang dapat memberi kebahagiaan diri dan keluarga kita.

# Penafian : Idea dan cadangan adalah pandangan penulis untuk tujuan konten dan sharing.

Comments

  1. Pendapat yang bagus dan membina. Teruskan berkarya sir.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

MENIKMATI SUNSET DI SYAHBANDAR BEACH TUARAN

KENALI 10 TEMPAT MENARI DI SABAH - PANORAMA DI ABADI FISHING PLATFORM TUARAN

CAMPING DI BABAGON TAGAL RIVER